|
11 APRIL 2010, PORT DICKSON
Kerajaan Negeri Melaka melalui Direktorat Pelaksanaan Negeri (DPN) / Pejabat Ketua Kumpulan Eksekutif Anak - Anak Syarikat Negeri Melaka (GCEO) dengan kerjasama Institut Pengurusan Dan Integriti Melaka (INSPIM) telah menganjurkan sebuah program Strategic & Retreat Management Workshop Bagi Pemantapan Kualiti Pengurusan Agensi Dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri Melaka. Program ini telah dijalankan bermula dari 9hb hingga 11hb April 2010 di Selesa Beach Resort, Port Dickson. Seramai 98 orang peserta daripada 127 buah agensi kerajaan negeri telah dihimpunkan dalam program selama 3 hari tersebut.
Sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk mencapai taraf Negeri Maju 2010, program pemantapan ini diwajibkan ke atas Ketua Agensi (Ketua Eksekutif / Pengurus Besar / Pengurus) dan Akauntan / Pegawai Akaun anak - anak syarikat Kerajaan Negeri Melaka. Menurut Dr. Mohd Aluwi Bin Sari, Group CEO GLC merangkap Pengarah Eksekutif Direktorat Pelaksanaan Negeri, di antara objektif yang telah digariskan ialah menyusun atur proses pengurusan dan prestasi agensi / anak syarikat agar lebih mantap melalui pelaksanaan pemantauan dan pengukuhan prestasi dengan teratur dan berintegriti, membantu setiap anak syarikat untuk memperolehi kejayaan di dalam bidang perniagaan yang diamanahkan berpandukan kehendak stakeholder, dan melaksanakan pemantauan serta pelan tindakan bagi meningkatkan prestasi agensi / anak syarikat milik Kerajaan Negeri Melaka.
Bermula dengan Majlis Makan Malam bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang diwakili oleh YB Datuk Hj. Naim Bin Abu Bakar. Program yang dirancangkan turut mengundang penceramah dari Universiti Multimedia (MMU) iaitu YBhg. Dr. Hishamuddin Bin Ismail yang telah membentangkan tajuk 'Pengurusan Akaun', YBhg. En. Rezy Izwan Bin Ramly dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan tajuk 'Kesalahan- Kesalahan Yang Lazim Dilakukan Oleh Lembaga Pengarah Dan Lain - Lain', YBhg. Dr. Mohd Isa Bin Husin dari Kementerian Kewangan & Perbendaharaan Malaysia dengan tajuk 'Pengurusan Kewangan GLC' manakala YBhg. Datuk Zainal Abidin Bin Hj. Mohamed daripada Am Bank dengan tajuk 'Why Company Fails?'.
Turut terlibat dalam sesi dialog ialah Setiausaha Syarikat, YBhg. Pn. Masitah Bte Datuk Wira Ismail daripada Perbadanan Melaka Holdings, YB Datuk Meor Hashimi Bin Abd Hamid, Penasihat Undang - Undang Negeri Melaka, YBhg. Datuk Zainal Bin Husin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) dan YBhg En. Helmi Bin Rahmat, juruaudit luar daripada KHR Consultant.
Majlis Penutupan kepada para peserta dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka. Dikesempatan ini juga pihak penganjur ingin mengucapkan ribaun terima kasih kepada para peserta yang memberikan kerjasama yang jitu disepanjang program dijalankan.

YB Datuk Hj. Naim Bin Abu Bakar sedang menyampaikan amanat YB. Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri pada Majlis Makan Malam kursus berkenaan.

Para peserta kursus sedang mendengar ceramah yang disampaikan sepanjang kursus berlangsung.

YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka sedang menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Penutup & Penyampaian Sijil kepada para peserta.

Para peserta di program Strategic & Retreat Management Workshop Bagi Pemantapan Kualiti Pengurusan Agensi Dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri Melaka. Program ini telah dijalankan bermula dari 9hb hingga 11hb April 2010 di Selesa Beach Resort, Port Dickson.
|